JINS tidak sunyi kerana mendapat perhatian isteri, anak dan cucu.
JINS tidak sunyi kerana mendapat perhatian isteri, anak dan cucu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kehadiran presiden dan ahli jawatankuasa Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) ke rumah seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin, 80, di Hulu Klang, Selangor, Jumaat lalu disambut mesra isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 54.

Di ruang tamu pula, Jins dilihat segak berpakaian kemas sambil dikelilingi tetamu daripada Persatuan Anak Perak.

Seniman tersohor ini nampak tenang melayan tetamu yang tidak melepaskan peluang bergambar kenangan dengannya.

Kunjungan ini diadakan bagi melihat sendiri situasi kesihatan terkini pelakon dan pengarah legenda ini selepas khabar angin kematiannya tersebar di Internet, Khamis lalu.

Ia kali ketiga berita palsu itu disebarkan dan motif pihak yang berbuat demikian sukar diketahui.

Bagaimanapun, berita ini mencetuskan kegemparan dan menyusahkan masyarakat seperti diakui Halijah.

Ditanya bagaimana tersebarnya berita palsu kematian suaminya dan tindakan yang akan diambil, Halijah berkata, mereka tidak terfikir untuk membuat laporan polis.

“Kami tak bercadang untuk buat laporan. Saya pun dapat tahu penyebaran berita ini apabila dihubungi Ketua Polis Pahang yang mahukan pengesahan pada jam 7.15 pagi.

“Saya cuma tahu pada awalnya ia disebarkan individu di Pulau Pinang. Selepas itu ramai pula yang menelefon rumah dan kebetulan kami tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Temerloh, Pahang, jadi ada yang ang­gap berita ini benar.

“Saya sebenarnya tak ambil kisah pun perkara ini kerana sudah tiga kali berlaku. Cuma saya kasihankan orang luar yang datang ke rumah serta menelefon kerana nak melihat sendiri apa yang berlaku. Ia menyusahkan ba­nyak pihak kerana ramai yang ambil berat terhadap kesihatan suami,” katanya.

Hanya ingat Putera Hang Nadim

Walaupun menghidap Alzheimer sejak empat tahun lalu, keadaan kesihatan Jins masih normal dan mereka menjaganya dengan baik.

Menurut Halijah, selain itu suaminya tidak mempu­nyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan darah tinggi, malah doktor tidak memberikan sebarang ubat untuk rawatan.

“Doktor memberitahu sifatnya seperti kanak-kanak berusia enam tahun. Namun, dia tak pernah menyusahkan kami. Saya beri dia makan buah-buahan seperti kismis dan anggur setiap hari.

“Reaksinya hanya senyum dan sengih tanda menerima. Dia juga pandai ucapkan ‘terima kasih’. Budi bahasanya memang sangat tinggi. Setiap kali saya uruskan dia mandi, tukar pakaian dan makan, pasti dia ucapkan ‘terima kasih’,” katanya.

Halijah berkata, walaupun dia sudah tidak mengenali isteri dan anak-anaknya, ucapan ‘terima kasih’ tidak pernah lekang dari mulutnya.

“Jika ditanya siapa isterinya, dia pasti jawab mana dia ada isteri. Ditanya berkenaan anak pun sama juga. Anak kami Putera Hang Jebat langsung dia tak ingat kecuali Putera Hang Nadim kerana Nadim sentiasa menemani dia.

“Tak dinafikan pada mulanya Jebat kecil hati juga, tapi ditanya lagi ini siapa, dia tetap jawab ‘ini Nadim’ dan buatkan Jebat akur ayahnya sedang sakit.

Apabila ditanya lagi ‘Nadim itu siapa?’ Dijawabnya pula ‘itu saudara’. Suami kata dia dari kampung datang ke sini,” katanya.

Seronok bercuti di Korea Selatan

Sebelum ini Jins masih mampu mengingati kisah lama termasuk kampungnya di Changkat Jering, Perak.

Bagaimanapun, sekarang ingatannya semakin merosot dan dia tidak mampu mengingati apa-apa walaupun sedang menonton filem lakonan dan arahannya di TV.

Halijah berkata, suaminya juga semakin menghadapi kesukaran untuk membaca.

“Mula-mula bacaannya betul, tetapi lama-kelamaan jadi lain. Saya perhatikan agak berbeza dan apabila dipanggil pun tindak balasnya agak lambat. Lama sikit barulah dia senyum,” katanya.

Halijah berkata, mereka bercuti ke Korea Selatan baru-baru ini dan ketika dibawa berjalan-jalan, Jins tidak merungut sama ada penat atau sebaliknya.

“Dia kelihatan gembira dan ketika berada di lapangan terbang untuk pulang ke tanah air, barulah dia kata cuaca di sana tidak sama dengan Malaysia,” katanya yang kerap disapa rakyat Malaysia yang turut berkunjung ke sana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:01 AM