Jenazah allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Jenazah allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Najiy Jefri


Hulu Klang: Jenazah pelakon dan pengarah veteran, Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan di sini, 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham tiba pada 10.15 pagi selepas dimandikan di kediamannya di Kampung Pasir, di sini, dan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan.

Lebih 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara-mara serta penggiat seni tanah air hadir pada majlis pengebumian berkenaan.

Antaranya Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Fauzi Ayob; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; Datuk DJ Dave; Datuk Yusof Haslam; Zul Ariffin; A Galak; Norman Hakim dan Zaiton Sameon.

Jins meninggal dunia pada usia 82 tahun di klinik di Taman Melawati, di sini, dipercayai akibat sesak nafas selepas minum petang di rumahnya jam 5.45 petang semalam.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, serta dua anaknya, Putera Hang Jebat, 30, dan Putera Hang Nadim, 26.

Jins turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Jefri Jins, 55, menerusi perkahwinan pertama dengan pelakon, Rahmah Rahmat.

Sebelum ini, tokoh perfileman filem Melayu sejak zaman Jalan Ampas, Singapura itu menghidap Alzheimer sejak Februari 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 11:01 AM