CAVANI (kiri) dihalang pemain Monaco.
CAVANI (kiri) dihalang pemain Monaco.

Paris: Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) berdepan kekalahan pertama sejak dibimbing jurulatih baharu Unai Emery apabila tumbang 1-3 di tangan Monaco di Stade Louis II, kelmarin.

Joao Moutinho meletakkan Monaco di depan sebelum penalti Fabinho menggandakan kelebihan tuan rumah dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat babak pertama.

Edinson Cavani merapatkan kedudukan di babak kedua tetapi gol sendiri Serge Aurier pada hujung perlawanan memastikan kemenangan tuan rumah yang kini mengumpul tujuh mata, sama dengan pendahulu Guingamp.

PSG ketinggalan satu mata di belakang dan menduduki tangga kelima selepas impian mereka untuk memulakan musim dengan cemerlang tidak menjadi.

Kekalahan itu pasti menimbulkan pelbagai persoalan mengenai strategi kelab terutama selepas mereka memecat jurulatih Laurent Blanc selain kehilangan pemain bintang Zlatan Ibrahimovic.

Emery sebelum ini membimbing Sevilla dan masih segar dengan kemenangan di Liga Europa tetapi ketiadaan Ibrahimovic menjadi satu masalah besar buat PSG.

PSG tidak pernah tewas sepanjang 27 perlawanan awal musim lalu sebelum ditundukkan hujung Februari manakala pada dua musim sebelumnya, mereka tidak kalah aksi Ligue 1 sehingga Disember.

Petanda buruk mula kelihatan ketika dua perlawanan awal menentang Bastia dan Metz dengan PSG gagal memberikan aksi meyakinkan walaupun keluar sebagai pemenang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:40 AM