SPEAKER DUN Selangor, Lau Weng San. FOTO Faiz Anuar
SPEAKER DUN Selangor, Lau Weng San. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, pemberhentian keahlian Adun Selat Klang dalam BERSATU didapati sebagai satu pemecatan terancang (constructive expulsion) di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

"Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.

"Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan," katanya sebelum menangguhkan Sidang DUN Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terdapat satu rangkapan Rule of Equity dalam perkara berkenaan yang berbunyi 'Those who seek equity must come with clean hand and do equity'.

"Intihanya (kesimpulannya), selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian atau balance of probability, bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan termasuk dalam Fasal 10 dan Fasal 22 dalam Perlembagaan Bersatu menimbulkan pendapatan tiada bukti dokumen yang membuktikan perlembagaan parti tersebut berkuat kuasa secara retrospektif iaitu sebelum 1 April 2024.

"Tindakan Abdul Rashid yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei Lau bukanlah satu maklumat pertama.

"Situasi ini adalah peristiwa yang berasal daripada kedudukannya pada 6 Mac lalu dan berlaku sebelum pindaan Perlembagaan Bersatu berkuat kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 1April lalu," katanya.

Sejurus pengumuman itu dibuat, Abdul Rashid bangun dan mengucapkan terima kasih kepada Lau.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Rashid diberhentikan keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Diikuti dengan penyerahan notis pemakluman kekosongan kerusi itu pada 21 Jun lalu oleh Mohamed Azmin yang mana Weng San mempunyai tempoh selama 21 hari bagi menentukan kedudukan kerusi DUN Selat Klang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 8:15 PM