AMINUDDIN (dua kiri) menunjukkan buah durian beku yang dieksport ke China. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
AMINUDDIN (dua kiri) menunjukkan buah durian beku yang dieksport ke China. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan antara 500 hingga 1,000 tan metrik durian segar pelbagai varieti termasuk Musang King akan dieksport ke China Oktober ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata jumlah itu mengambil kira kemampuan bekalan durian sedia ada memandangkan musim buah yang kini sudah berada di penghujung.

"Varieti durian yang dipilih bagi pasaran China ini bergantung kepada permintaan, tetapi buat masa ini permintaan pengeksport adalah jenis premium Musang King.

"Kita anggarkan antara 500 hingga 1000 tan metrik yang kita boleh pasarkan kerana musim pun sudah masuk ke penghujungnya jadi buah tidak banyak untuk tahun ini," katanya selepas sesi libat urus KPKM bersama pengusaha durian bagi pasaran China di Pusat Operasi Fama Batu Kurau di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu proses pengauditan premis dan ladang durian daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi tujuan itu.

"Siapa yang memiliki kebun durian dan berminat jadi ladang pembekal boleh membuat permohonan kerana kita tidak hadkan saiz dan keluasan kawasan.

"Paling penting kena daftar dengan Jabatan Pertanian untuk dapatkan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGap) dan berdaftadengan Biosekuriti supaya kita dapat lihat ladang itu mematuhi aspek kuarantin.

"Banyak kebun durian di seluruh negara terutama di Pahang berpotensi tinggi menjadi ladang pembekal khususnya jenis premium yang dapat memenuhi permintaan pengeksport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 7:28 PM