PEMAIN Monaco (kanan) kecewa selepas tewas kepada Lyon. FOTO/AFP
PEMAIN Monaco (kanan) kecewa selepas tewas kepada Lyon. FOTO/AFP
Reuters

PARIS: AS Monaco tewas kali keempat berturut-turut dalam lima perlawanan selepas dibelasah Olympique Lyonnais 3-0, awal pagi tadi sekali gus Lyon melonjak ke tangga ketiga Ligue 1.

Kekalahan itu meletakkan Monaco, naib juara liga musim lalu dan juara 2017 di kedudukan kedua terakhir dengan 13 mata daripada 17 perlawanan, lima mata di hadapan pasukan tercorot, Guingamp.

Mereka bolos 45 kali dalam semua kejohanan musim ini, rekod terburuk dicatat oleh mana-mana pasukan dalam lima liga tertinggi Eropah.

Houssem Aouar menjaringkan gol buat Lyon pada minit keenam dan Nabil Fekir menembusi gawang lawan 11 minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Aleksandr Golovin menambahkan kesengsaraan Monaco selepas mendapat kad merah akibat kekasaran dilakukan pada awal babak kedua dan Ferland Mendy terus menghukum skuad Thierry Henry dengan jaringan ketiga melalui tandukan.

Monaco kerap terlepas peluang menjaringkan gol dan menyaingi lawan mereka.

"Kami perlu melihat gol pertama dilepaskan dan gol kedua yang menyentap semangat kami,” kata Henry. “Sukar untuk menang jika tiada keinginan tinggi.”

"Kami perlu melupakan keputusan ini, kami ada perlawanan besar menentang Guingamp minggu ini."

Lyon memiliki 31 mata daripada 17 perlawanan, tiga mata di belakang Lille yang mara ke tangga kedua selepas menewaskan Nimes 3-2

Kemenangan pertama Lille ke atas Nimes sejak 1954 itu membolehkan kelab dari utara itu meraih 34 mata daripada 18 perlawanan, tiga mati di hadapan Lyon dan lima mata mengatasi pasukan tempat keempat Montpellier yang beraksi kurang dua perlawanan.

Paris St Germain kekal di puncak dengan 44 mata daripada 16 perlawanan tanpa kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 1:18 PM