BAY dan kucingnya, Bebe.
BAY dan kucingnya, Bebe.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara kacak, Sean Lee memaklumkan dia dan isterinya, Bay Doucet, 26, mahu menikmati kebahagiaan hidup berumah tangga terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cahaya mata.

Kata Sean atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern, 30, mereka juga lebih suka menyerahkan soal anak kepada ketentuan Tuhan dan pastinya akan berkongsi berita gembira itu bila sampai masanya kelak.

"Buat masa ini, kami mahu melayari alam rumah tangga yang baru dibina dengan berdua sahaja dulu.

"Pada masa sama, isteri juga ada memelihara seekor kucing jantan berwarna oren yang diberi nama Bebe berusia empat tahun.

" Biarlah kami curahkan sepenuh kasih sayang kepada kucing yang dipelihara dahulu," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai perasaannya selepas berkahwin, Sean mengakui, pastinya dia berasa gembira selepas beralih status sekarang.

"Saya gembira untuk memulakan kehidupan baru bersama isteri.

"Banyak perkara baru yang perlu dipelajari selepas memikul tanggung-jawab sebagai suami.

" Dalam masa yang sama, saya juga berasa sangat selesa kerana berkahwin dengan kawan baik sendiri," katanya.

SEAN dan Bay.
SEAN dan Bay.

Ditanya bulan madu pula, kata Sean, jika ada kelapangan dan rezeki, mereka impi untuk berbulan madu ke destinasi percutian di Eropah.

"Selepas berkahwin, kami kembali sibuk bekerja dan belum sempat untuk berbulan madu lagi.

"Kami juga berharap dapat mengatur jadual untuk pergi berbulan madu pada hujung tahun ini. Mungkin bercuti ke Eropah kerana belum pernah ke sana," katanya.

Terdahulu, Sean mengejutkan ramai apabila berkongsi gambar majlis perkahwinannya dengan Bay, yang juga model berdarah kacukan Cina-Amerika Syarikat, di laman Instagram (IG), baru-baru ini.

Selain model, Bay juga seorang 'content creator' (pencipta kandungan) dan pemilik butik pakaian 'preloved' di ibu kota.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 7:35 PM