NEYMAR (dari kiri), Mbappe dan Edinson Cavani sandaran PSG ledak gol ketika berjumpa Celtic.
NEYMAR (dari kiri), Mbappe dan Edinson Cavani sandaran PSG ledak gol ketika berjumpa Celtic.
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain akan memulakan bidaan terbaru memburu kegemilangan Liga Juara-Juara di Celtic awal pagi Rabu ini dengan rangsangan berikutan kehadiran pembelian besar Neymar dan Kylian Mbappe.

Kelab gergasi Perancis itu berharap pembelian besar mereka pada hujung musim lalu boleh membantu impian pemilik dari Qatar untuk menjulang Piala Eropah.

Sesudah kecewa musim lalu apabila tewas dalam pemburuan gelaran Ligue 1 kepada AS Monaco dan kecundang pada pusingan kedua Liga Juara-Juara kepada Barcelona, PSG tampil dengan memecahkan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) bagi mendapatkan Neymar dari Barca.

Ketika berbilion wang Qatar itu menghasilkan empat gelaran berturut-turut liga Perancis dari 2013-2016, prestasi itu masih belum dilihat pada pertandingan Eropah.

Kemaraan terakhir dan tunggal PSG ke separuh akhir Liga Juara-Juara hadir pada 1995, dengan empat kali berturut-turut mereka tersingkir pada suku akhir diikuti kekalahan 1-6 pada perlawanan kedua di Nou Camp awal tahun ini selepas menewaskan lawan 4-0 pada aksi pertama.

Namun dengan kehadiran Neymar dan Mbappe, harapan tinggi pasukan kendalian Unai Emery itu mampu menangani masalah saingan peringkat serantau.

“Kami lebih daripada bersedia berdepan Liga Juara-Juara,” kata pertahanan Thomas Meunier selepas membelasah Metz 5-1 Jumaat lalu.

“Kami berada dalam kumpulan yang bagus, kami boleh melihat di bangku simpanan hari ini dengan semua pilihan yang ada.

“Setiap pemain beraksi untuk Liga Juara-Juara dan dengan pasukan yang kami ada tahun ini, kami mesti menunjukkan kami mahu lebih baik berbanding tahun sebelumnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 2:09 PM