Iskandar Shah Mohamed dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Shah Alam: Laluan motosikal lebih 28 kilometer di Lebuhraya Persekutuan akan ditambah baik secara berperingkat merangkumi penyelenggaraan terowong, pelebaran jalan dan penambah baikan susur keluar atau masuk lorong sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemerhatian pihaknya mendapati beberapa isu utama berlaku di laluan yang mula dibuka sejak 1970-an itu antaranya lorong sempit, terowong gelap dan banjir serta kemalangan.

"Justeru, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penunggang motosikal, kita akan melakukan pembaikan termasuk mengecat pintu masuk terowong dan menambah baik pencahayaan, memasang papan tanda arah dan amaran serta mengecat garisan jalan.

"Selain itu, kita menunggu peruntukan kerajaan untuk melebarkan lorong motosikal, menaik taraf sistem perparitan dan rumah pam selain membina persimpangan atas (Overhead Ramp) jika berlaku banjir," katanya pada sidang media selepas selesai melakukan lawatan kerja di laluan itu, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya amat mengharapkan kerjasama semua pihak terutama pengguna laluan itu menyalurkan aduan jika terdapat permasalahan supaya tindakan segera diambil sama ada oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 2:22 PM
FADILLAH membonceng motorsikal bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya ketika tinjauan sempena lawatan kerja di Lebuhraya Persekutuan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
FADILLAH membonceng motorsikal bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya ketika tinjauan sempena lawatan kerja di Lebuhraya Persekutuan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria