Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menghadiri mesyuarat bersama  di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Johor, Gelang Patah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menghadiri mesyuarat bersama di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Johor, Gelang Patah. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan bersetuju melanjutkan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sebelum ini berakhir di Simpang Renggam, diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pertambahan 17 kilometer lagi projek pelebaran Lebuhraya PLUS itu dibuat berikutan peruntukan RM931 juta yang diberikan kerajaan mencukupi sehingga ke lokasi baharu berkenaan.

Katanya, JKR ketika ini sedang melaksanakan Kajian Nilai (Value Assessment - VA) supaya projek pelebaran Lebuhraya PLUS berkenaan tidak hanya berakhir di Simpang Renggam sahaja.

"Sebelum ini sudah diumumkan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam membabitkan peruntukan RM525 juta, iaitu sejauh 21 kilometer (km) antara Senai Utara ke Sedenak.

"Namun dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak sehingga ke Simpang Renggam, dengan peruntukan RM931 juta.

"Namun, hari ini saya ingin memaklumkan dengan peruntukan sama RM931 juta, projek pelebaran Lebuhraya PLUS antara Sedenak bukan berakhir di Simpang Renggam sahaja, tetapi ia akan diteruskam sehingga ke Ayer Hitam membabitkan pertambahan 17 km lagi.

"Pertambahan 17 km lagi di buat selepas penilaian awal mendapati peruntukan RM931 juta mencukupi sehingga pelebaran di Ayer Hitam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKR Johor, Abu Bakar Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:00 PM