Redzuan Muharam

Petaling Jaya: Kerja awal naik taraf membabitkan projek pelebaran laluan lebuh raya Sedenak dan Pasir Gudang, Johor sudah bermula dengan peruntukan sebanyak RM525 juta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu dijalankan di bawah peruntukan Belanjawan 2023.

"Memang ada tempoh masa (pembinaan) apabila kelulusan diberi. Sekarang kerja awal dibuat, Plus (Malaysia Berhad) akan melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemantauan Trafik Persada Plus Malaysia Berhad (Plus) di sini, hari ini.

NANTA ketika melawat Pusat Pemantauan Trafik di Persada Plus, Subang Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
NANTA ketika melawat Pusat Pemantauan Trafik di Persada Plus, Subang Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Kelmarin, Nanta dalam satu kenyataan berkata, projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang terbahagi kepada empat fasa dan bakal memanfaatkan pengguna jalan raya yang berulang-alik ke kawasan perindustrian, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta penduduk di kawasan perumahan di sepanjang laluan berkenaan.

Ketika ini, kerja pelebaran membabitkan laluan sepanjang 5.5 kilometer (km) bagi kerja naik taraf Fasa 2B lebuh raya berkenaan sedang giat dijalankan.

Fasa 2B iaitu dari persimpangan Bandar Seri Alam atau Taman Rinting ke persimpangan Pasir Gudang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2025.

Manakala, kerja pelebaran Lebuhraya Utara Selatan Fasa 1: Senai (U) - Sedenak membabitkan laluan sejauh 22km.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 6:23 PM