PENGGUNA lebuhraya meletakkan kereta masing-masing di bahu jalan bagi memudahkan pasukan penyelamat memasuki Terowong Menora untuk mengalihkan dua kenderaan yang terbabit kemalangan dalam terowong berkenaan. FOTO Ihsan pembaca
PENGGUNA lebuhraya meletakkan kereta masing-masing di bahu jalan bagi memudahkan pasukan penyelamat memasuki Terowong Menora untuk mengalihkan dua kenderaan yang terbabit kemalangan dalam terowong berkenaan. FOTO Ihsan pembaca
Farah Suhaidah Othman


SIKAP pemandu memberi kerjasama meletakkan kenderaan masing-masing rapat ke dinding Terowong Menora sekali gus menyediakan akses kepada pasukan penyelamat memasuki terowong itu ketika kemalangan di Kilometer 261.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala utara di Ipoh pagi tadi, dipuji.

Gambar menunjukkan situasi itu bagi menyediakan laluan kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ambulans tular, malah ada yang menyamakan kes itu seperti yang dikatakan berlaku dalam satu terowong di Korea pada Februari tahun lalu.

Dalam kejadian pagi tadi, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dan Proton Saga Aeroback dan kedua-dua kenderaan itu terbalik menyebabkan kedua-dua lorong hala utara PLUS di dalam terowong itu terpaksa ditutup sementara.

Ketika pasukan keselamatan berdepan kesukaran memasuki terowong termasuk ketika pertambahan bilangan kenderaan di PLUS kerana musim perayaan, pengguna dilihat 'sporting' dengan membuka laluan membolehkan pasukan itu tiba ke lokasi bagi memberi bantuan sewajarnya.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata, kemalangan dua kenderaan dalam terowong pada 11.30 pagi tadi mengakibatkan kesesakan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan terutama pasukan penguatkuasa ke lokasi itu.

“Apabila berlaku kemalangan dalam terowong, semua kenderaan terperangkap dalam kesesakan dan tidak bergerak.

“Berikutan itu, kerjasama pelbagai pihak termasuk anggota trafik, kakitangan PLUS dan pengguna lebuh raya memastikan pergerakan pasukan penguatkuasa tiba di lokasi kejadian bagi mengalihkan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Pengguna lebuh raya telah meletakkan kenderaan di kiri dan kanan lebuh raya dalam terowong itu bagi memudahkan pasukan penguatkuasa dan penyelamat seperti jentera bomba dan ambulans tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mustafa Bakri berkata, anggota trafik yang bertugas berjaya mengawal kesesakan bagi memudahkan kerja pengalihan kenderaan keluar dari terowong berkenaan.

“Sebaik sahaja kerja pengalihan selesai, aliran trafik kembali lancar seperti biasa kira-kira 12 tengah hari tadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya memberi kerjasama kepada pasukan penguatkuasa untuk melaksanakan tugas bagi memudahkan aliran trafik berjalan lancar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.31 pagi.

Beliau berkata, anggota yang tiba mendapati mangsa tiada di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Tragedi Terowong Menora

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 6:53 PM