KESERASIAN dalam pembawakan lagu menyebabkan peminat  mahu Hael dan Dayang bercinta.
KESERASIAN dalam pembawakan lagu menyebabkan peminat mahu Hael dan Dayang bercinta.
Cik Pang

Sejak melihat kemesraan yang wujud di antara penyanyi Hael Hussaini dan Dayang Nurfaizah, ramai peminat berharap pasangan duet itu bercinta.

Cik Pang sendiri pun sebenarnya terkejut melihat kemesraan dua bintang ini terutama sewaktu mereka muncul juara pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33). Mereka tidak sorok kemesraan apabila berpegangan tangan naik ke pentas.

Bagi peminat setia Dayang, pastinya mereka tentu terkejut dengan perkara itu. Ini kerana ramai sedia maklum Dayang agak susah menunjukkan perkara yang dianggap terlalu peribadi kepada umum.

Kemesraan mereka juga jelas terlihat apabila mereka berpimpin tangan sepanjang menghadiri majlis Anugerah MeleTop Era 2019 baru-baru ini.

Kemesraan mereka mendapat maklum balas positif peminat dan kebanyakan mereka berasa sangat gembira sehinggakan mereka menubuhkan tanda pagar khas menyatukan nama antara Hael dan Dayang, #healyang

Ada antara peminat memang mahu lihat Dayang dan Hael benar-benar bercinta. Kata mereka Heal dan Dayang nampak serasi tidak saja di pentas tetapi juga di luar pentas.

Tidak kurang juga ada peminat meluahkan rasa cemburu jika melihat Hael berbaik atau bergambar dengan artis lain.

Sebagai bukti, ramai peminat meluahkan rasa tidak puas hati apabila Hael bergambar berdua dengan Nabila Razali.

Cik Pang sendiri tidak pasti adakah hubungan kedua-dua penyanyi popular ini sememangnya membabitkan soal hati dan perasaan. Apabila ditanya, kedua-duanya seperti bermain tarik tali. Apapun biarlah mereka sendiri yang menentukannya. Sebagai orang luar, sebaiknya kita doakan perkara yang baik-baik saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:01 AM