BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pekerja bengkel yang mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu, menangis teresak-esak ketika merayu bagi mengurangkan hukuman di Mahkamah Trafik di sini, semalam.

“Saya menanggung isteri dan seorang anak yang baru berusia empat bulan, saya mohon maaf atas kesalahan yang saya lakukan dan saya juga sudah insaf," kata Muhammad Ramadan Aziz, 19, sambil menangis teresak-esak.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan memerintahkan supaya Muhammad Ramadan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam bercagar RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu diselesaikan dalam masa enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang bekerja di bengkel motosikal, tidak dibenar memohon lesen selama dua tahun.

Muhammad Ramadan yang tidak diwakili peguam didakwa menunggang motosikal secara melulu dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain di Jalan Raja Laut, di sini, pada 1.30 pagi, 18 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:28 AM