WALA menangis ketika diwawancara wartawan.
WALA menangis ketika diwawancara wartawan.
Agensi

NEW DELHI: Seorang ahli politik di India menangis teresak-esak ketika diwawancara wartawan kerana terlalu sedih mendapat lima undi selepas keputusan pilihan raya negara itu mula diumumkan pada 23 Mei lalu.

Apa yang menyebabkan Neetu Shutteran Wala lebih sedih adalah dia ada sembilan ahli keluarga yang layak mengundi dalam pilihan raya berkenaan.

India Today melaporkan, Wala, 35, yang bertanding sebagai calon bebas untuk pemilihan daerah di bandar Jalandhar di Punjab berkata, dia tidak percaya apabila mendapat undi seteruk itu.

“Saya ada sembilan ahli keluarga tetapi saya hanya mendapat lima undi,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Video yang menunjukkan Wala menangis itu segera tular di media sosial di India sebelum tersebar di seluruh dunia.

Bagaimanapun, apabila keputusan rasmi dikeluarkan, sebenarnya Wala bukanlah mendapat lima undi tetapi memperoleh 856 undi.

Walaupun kalah, Wala gembira kerana mengetahui keluarganya tetap mengundinya.

Wala sebenarnya, salah faham kerana diwawancara sebelum keputusan rasmi keluar dan keputusan yang dilihatnya adalah kiraan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:10 AM