BERNAMA

Kuala Lumpur, Seorang remaja lelaki hari ini menangis teresak-esak di Mahkamah Trafik di sini, selepas dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM5,500 selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi 'wheelie'.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan juga menasihati Muhamad Aiman Syafiq Mohd Azmi, 18, supaya jangan melakukan lagi kesalahan itu.

Sepanjang prosiding kes, Muhamad Aiman Syafiq kelihatan menangis termasuk ketika dia merayu untuk hukuman ringan.

Operator kilang ini didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi 'wheelie' yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya di Jalan Raja Laut di sini, pada 12.40 pagi, 21 Ogos lalu.

Di mahkamah sama, seorang lagi remaja Muhammad Faris Abu Kassim, 18, dipenjara tiga hari serta denda RM5,500 selepas mengaku bersalah turut melakukan kesalahan sama dengan membuat aksi ala 'Superman' di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang di sini pada 3.30 pagi, 27 Ogos lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhammad Faris yang bekerja sebagai jurujual barangan elektrik dan Muhamad Aiman Syafiq bermula hari ini dan mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar

denda itu.

Mereka bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-duanya dibatalkan dan mereka hilang kelayakan memohon dan memiliki lesen memandu selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 6:17 PM