BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bapa dan rakannya masing-masing dihukum penjara empat hari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi 'Superman'.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa dua anak, N Sivaraj Ganesan, 20, dan penganggur, A Indra Rao, 20, serta memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Kedua-dua lelaki itu didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi Superman yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE) di sini, pada 12.10 pagi, semalam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, serta hilang kelayakan menunggang dan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 6:29 PM