Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang ibu tunggal tidak mampu menahan sebak apabila menitiskan air mata di galeri awam ketika pendengaran kes anak lelakinya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu.

Segalanya bermula apabila anaknya, Muhammad Nuraiman Rosman,23, diarah memasuki kandang pesalah dan dibacakan serta diterangkan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Wanita itu yang kelihatan sebak mula menangis teresak-esak apabila anaknya mengaku bersalah selepas Majistret Mazana Sinin memberitahu sebab dan akibat pengakuannya iaitu wajib dipenjarakan serta didenda.

Mazana menangguhkan prosiding kes kira-kira 30 minit untuk tertuduh bertenang manakala ibunya diminta keluar oleh polis mahkamah.

Sebaik prosiding bersambung Muhammad Nuraiman kekal mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM5,000.

Mazana Sinin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu hari ini selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara empat bulan.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan orang awam di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat lampu isyarat Bukit Piatu, di sini, 2.15 pagi, 3 September 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi menundukkan kepala separas pemegang sambil memotong kenderaan lain secara 'zig zag.'

Ketika merayu hukuman ringan, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan apatah lagi dia anak sulung daripada tujuh beradik yang perlu membantu ibunya berniaga kuih untuk menyara keluarga.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan Lesen Percubaan Kelas B2 tertuduh dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 3:51 PM