BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana cuba merompak seorang jurulatih badminton dan menyamar sebagai polis.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Al Sufian Abdul Razak, 28, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bagi kesalahan cubaan merompak dan 24 bulan lagi kerana menyamar sebagai polis.

Bagaimanapun, Muhammad Al Sufian hanya menjalani hukuman penjara selama 24 bulan selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai lalu.

Dia didakwa cuba merompak Tung Kuan Xin, 19, di parkir kereta, Genting Court Condo Setapak, Wangsa Maju, di sini, pada 1.30 pagi, 15 Julai lalu, mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga didakwa menyamar sebagai anggota polis pada masa dan tempat sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia penanggung utama keluarganya.

"Isteri saya sedang mengandung, saya juga menyara ibu dan adik-adik yang masih bersekolah selepas ayah meninggal dunia, saya mohon hukuman minimum dari tarikh ditangkap," katanya sambil menangis teresak-esak.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu sedang meletak kereta, datang seorang lelaki memakai vest hijau/kuning dengan tulisan 'Polis' sambil memegang 'T-Baton' meminta wang daripadanya.

Pengawal keselamatan yang ternampak kejadian itu meminta tertuduh menunjukkan kad kuasa polis, namun dia enggan sebelum tertuduh ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 6:06 PM