WILLETT tiba di rumahnya yang terletak di  London.
WILLETT tiba di rumahnya yang terletak di London.
Reuters

London: Kemenangan mengejut Danny Willett pada Masters AS ke-80 hampir memastikannya penampilan sebagai rookie buat pasukan Piala Ryder Eropah, September ini.

Pemain Inggeris berusia 28 tahun itu, yang menggunakan kesempatan hasil kemerosotan teruk pemain Amerika Syarikat Jordan Spieth dalam sembilan lubang terakhir untuk menang dengan tiga pukulan di Augusta National kelmarin, kini merampas kedudukan Rory McIlroy di puncak senarai kelayakan ke Piala Ryder.

Kemenangan itu juga membolehkan Willett melonjak dalam kelompok 10 terbaik dunia di tangga kesembilan selepas sebelum ini di tangga ke-12.

“Masih tidak percaya apa yang berlaku. Juara Masters 2016. Wau!” katanya dalam akaun Twitter selepas muncul pemain pertama Eropah memenangi kejuaraan utama pertama musim sejak 1999.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan minggu yang saya lalui. Terima kasih kepada semua yang terbabit @The Masters serta layanan fantastik dari ahli kelab.”

Willett berkata, beraksi di samping rakan senegara Lee Westwood dan kedinya Billy Foster pada pusingan akhir banyak membantu.

“Saya banyak kali beraksi dengan Lee sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. “Saya kawan baik dengan Billy jadi ia memang satu gandingan yang bagus bagi aksi Ahad pada kejuaraan utama ketika kedua-duanya berpeluang memburu kejuaraan.

“Kami bermain dengan hebat. Kami bagaikan bersaing sesama sendiri untuk bertindak lebih baik.

“Saya bangga dengan Lee... harapnya ini batu loncatan buatnya untuk kembali menjadi pemain hebat seperti yang anda kenali sebelum ini,” ujar Willett.

Westwood berkongsi kedudukan kedua dengan Spieth, keputusan yang melonjakkannya menghampiri kelompok sembilan pemain teratas yang layak secara automatik bagi skuad Piala Ryder Eropah untuk pertembungan dwitahunan menentang AS di Hazeltine, Minnesota. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 10:40 AM