OOI Lin (kiri) dan Chak Whee(dua kiri) menonton siaran langsung penyampaian pingat kepada anaknya Liu Ying. FOTO Rasul Azli Samad
OOI Lin (kiri) dan Chak Whee(dua kiri) menonton siaran langsung penyampaian pingat kepada anaknya Liu Ying. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Goh Liu Ying bakal dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) Oktober ini atas kejayaan meraih pingat perak beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016, awal pagi tadi.

Kerajaan negeri Melaka turut mengumumkan pemberian insentif RM25,000 masing-masing kepada Liu Ying dan pasangannya, Chan Peng Soon.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, pemberian insentif kepada kedua-dua pemain itu adalah pengiktirafan yang munasabah tanpa mengira negeri kelahiran pemain.

"Kita mengiktiraf usaha kedua-dua pemain kerana tanpa seorang daripada mereka, tidak mungkin pingat perak ini dimenangi," kata Idris selepas menonton perlawanan akhir bersama ibu bapa Liu Ying, Yong Ooi Lim, 53, dan Goh Chak Whee, 59, di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, di sini.

Dalam final di Rio de Janeiro itu, Liu Ying-Peng Soon tewas kepada gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 14-21, 12-21.

Namun, gandingan negara itu melakar sejarah apabila muncul beregu campuran pertama negara melangkah ke final dan meraih perak di Sukan Olimpik.

Berita berkaitan:

Peng Soon-Liu Ying raih perak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 2:05 AM