ABDUL Fattah (dua kiri) menyaksikan Pengerusi KEBPB,  Zulkeply Endut (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Winston (tiga kanan).
ABDUL Fattah (dua kiri) menyaksikan Pengerusi KEBPB, Zulkeply Endut (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Winston (tiga kanan).
Wan Nur Ameera Meor Rozman


Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengunjurkan nilai jualan eksport produk tempatan menerusi Koperasi Eksekutif Bersatu Putrajaya Berhad (KEBPB) mencecah RM74 juta bagi tahun pertama di bawah perjanjian persefahaman dengan China.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi inisiatif terbabit, pihaknya memasarkan produk 100 Champion berstatus halal ke Wilayah Urumqi membabitkan produk di bawah segmen agro makanan.

“Melalui 13,000 unit koperasi di seluruh negara, kami mempunyai lebih 3,000 produk SKU. Bagaimanapun, buat masa ini, kami belum menyenaraikan produk yang bakal dieksport.

“Untuk menjadi pemain bertaraf global, kita perlu memastikan produk dieksport adalah produk yang mendapat permintaan.

“Justeru, kami mengenal pasti kehendak dan keperluan penduduk setempat di sana seterusnya memberi tumpuan mencari peluang perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama syarikat berpotensi berbanding menguruskan jualan runcit pada ekspo yang berlangsung September depan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KEBPB dengan China International Investment Stock Ltd, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Kamarudin Ismail, Kaunselor Pertanian Kedutaan Malaysia di China, Aszmy Mahmood Yusof Mohamed dan Pengarah Urusan China International Investment Stock Ltd, Winston S W Chia.

Menurutnya, ANGKASA menyokong penuh usaha mewujudkan gudang pengumpulan untuk mengumpul dan melakukan penjenamaan semula produk Malaysia mengikut kesesuaian pasaran China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 7:08 AM