ABDUL Fattah (tiga dari kiri) menunjukkan produk usahawan yang bernaung di bawah ANGKASA, di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
ABDUL Fattah (tiga dari kiri) menunjukkan produk usahawan yang bernaung di bawah ANGKASA, di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

PENYEBARAN wabak koronavirus baharu (Covid-19) memberi kesan kepada aktiviti perniagaan usahawan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata Covid-19 jelas memberi kesan kepada perniagaan koperasi itu terutama mereka yang berurusan dengan pembekal dari China.

“Ada kalangan koperasi yang menjalankan perniagaan dan berurusan terus dengan China terpaksa menangguhkan urusan itu kerana wabak ini.

“Contoh, perniagaan perkakasan (hardware) yang mana mereka berurusan dengan pembekal peralatan di Wuhan, China.

“Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, nilai barangan yang tidak dapat diimport ialah RM8 juta dan jika wabak ini berterusan sehingga akhir tahun, jumlah nilai import tergendala ialah RM50 juta.

“Kegagalan mendapatkan bekalan itu akan memberi kesan kepada urusan perniagaan yang memberi perolehan sekitar RM100 juta,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ANGKASA Negeri Sembilan 2020 di Klana Resort di Seremban, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Kamarudin Ismail dan Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan Datuk Ibrahim Abdullah.

Mengulas lanjut, Abdul Fatah berkata, kerugian itu tidak termasuk aktiviti perniagaan dalam bidang pelancongan seperti umrah dan lawatan ke negara luar, yang turut menerima kesan langsung daripada Covid-19.

Beliau berkata, sebagai langkah jangka pendek dan panjang, pihaknya sudah menyarankan kepada usahawan koperasi itu supaya menyusun semula strategi perniagaan mereka agar kesan yang diterima tidak membabitkan kerugian teruk.

Katanya, sasaran ANGKASA untuk memperoleh pendapatan keseluruhan RM50 bilion sejak 2010 hingga tahun ini kemungkinan sukar dicapai andai isu Covid-19 ini tidak selesai.

“Setakat ini, ada lebih 100 koperasi terbabit dalam aktiviti perniagaan perkakasan dan 400 koperasi lagi terbabit dalam perniagaan berkaitan pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fatah berharap Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, turut mengambil kira kepentingan ahli koperasi.

“Kami berharap kepemimpinan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dapat membantu sektor koperasi yang turut terkesan dengan Covid-19.

“Kami lihat Pakej Rangsangan Ekonomi itu suatu yang amat baik, namun perlu ditambah baik agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya termasuk 14,471 ahli ANGKASA ketika ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 5:55 PM