SURAYA (tengah) memotong riben sempena perasmian Pusat Pameran dan Pengedaran KuGerak dan Pelepasan Kontena Ke Luar Negara di Taman Perusahaan Saga.
SURAYA (tengah) memotong riben sempena perasmian Pusat Pameran dan Pengedaran KuGerak dan Pelepasan Kontena Ke Luar Negara di Taman Perusahaan Saga.
Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Koperasi Usahawan Groombig Negeri Kedah Berhad (KuGerak) menyasarkan keuntungan sehingga RM1 juta hasil jualan produk dikeluarkan ahlinya yang dieksport sepanjang tahun ini.

Pengerusi KuGerak Mohd Fadrol Hishaini Mohd Salleh berkata, antara produk keluaran ahlinya yang sudah memasuki pasaran eksport ialah air berkarbonat, stevia serta serbuk kopi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, baru-baru ini, pihaknya menghantar sebuah kontena mengandungi tiga produk iaitu air berkarbonat, stevia dan serbuk kopi bernilai RM139,000 ke Afrika Selatan yang pasarannya mula diteroka sejak September tahun lalu.

“Kami mula memasarkan produk keluaran ahli KuGerak ke Afrika Selatan sejak September tahun lalu selepas menandatangani perjanjian selama lima tahun bernilai AS$5 juta.

“Kami menyasarkan setiap produk yang dieksport mampu memberi pulangan keuntungan sekitar 15 hingga 20 peratus,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pameran dan Pengedaran KuGerak dan Pelepasan Kontena Ke Luar Negara di Taman Perusahaan Saga, di sini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob.

Mohd Fadrol berkata, setakat ini, pihaknya sudah menjana keuntungan sebanyak RM500,000 hasil jualan produk keluaran ahlinya yang dipasarkan di negara itu.

Menurutnya, selain tiga produk yang berjaya menembusi pasaran luar negara, tujuh lagi produk koperasi dikenal pasti berpotensi untuk turut dieksport ialah produk kosmetik dan kuih tradisional pada tahun ini.

“Setakat ini, kami mempunyai 184 ahli membabitkan 360 produk. Bagi tujuan eksport, setiap produk perlu melepasi syarat selain mempunyai pembungkusan yang sesuai.

“Kalau diikutkan permintaan yang diterima sebanyak tujuh produk, namun kami perlu mengambil langkah secara berperingkat dengan membantu usahawan menghasilkan produk lebih berkualiti sebelum dieksport,” katanya.

Katanya, produk keluaran pihaknya akan turut dipasarkan di beberapa negara lain seperti Maghribi, Arab Saudi dan Russia serta China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 8:11 AM