YAYA Zahir bersyukur majlis perkahwinannya dengan Arriz Azim berjalan lancar. FOTO Najiy Jefri
YAYA Zahir bersyukur majlis perkahwinannya dengan Arriz Azim berjalan lancar. FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri


MAJLIS resepsi pelakon dan pengacara, Yaya Zahir, 28, dengan juruterbang, Arriz Azim, 30, berlangsung meriah di The Grounds, Petaling Jaya, malam ini.

Seramai 300 tetamu undangan hadir memeriahkan majlis yang bertemakan ‘Black Tie’.

Memilih persalinan gaun serba putih, Yaya atau nama sebenarnya Zuhairah Zahir kelihatan begitu cantik seperti seorang puteri.

Manakala Arriz pula segak memakai sut berwarna hitam seperti putera raja.

Yaya ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila segala yang dirancang berjalan dengan baik.

“Alhamdulillah saya bersyukur majlis pernikahan dan resepsi hari ini berjalan dengan lancar.

“Perkahwinan ini adalah satu fasa baru buat saya dan suami. Doakan supaya mahligai yang baru dibina ini berkekalan hingga ke akhir,” katanya yang belum memilih destinasi berbulan madu.

Pada majlis itu, pasangan pengantin turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti Aina Abdul dan De Fam.

Antara rakan artis yang hadir ialah Scha Alyahya, Awal Ashaari, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Ridza, Adriana Adnan, Shalma Aina dan ramai lagi.

Yaya dan Arriz mengikat tali pertunangan 25 Februari tahun lalu dan mengukuhkan ikatan itu dengan pernikahan pada pagi tadi dengan sekali lafaz.

Dinikahkan sendiri oleh abang pengantin perempuan, personaliti televisyen itu menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima pada majlis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:21 PM