Joshua Liew (dua kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Najihah di Restoran cawangan Paka. FOTO Rosli Ilham
Joshua Liew (dua kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Najihah di Restoran cawangan Paka. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Foto dan video Rosli Ilham

Dungun: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Marrybrown, Datuk Joshua Liew membuat keputusan memberi sijil penghargaan kepada Najihah Hassan selepas pelanggannya kagum terhadap komitmen dan kesungguhan kakitangannya itu.

Kisah Najihah,20, yang bercakap loghat Terengganu dengan pelanggan restoran berkenaan, Mohd Nur Rizqy Mohd Supian viral di laman sosial.

Antara yang mencuit hati, Najihah menyebut “Ok, saya ripik (ulang) oder (pesanan). Set nombor lime (lima) se (satu). Air, sprek (Sprite). Abang nok (nak) bang?”.

‘Abang nak bang’ itu sebenarnya membawa maksud pertanyaan sama ada pelanggannya itu hendak memesan roti.

Menurut Joshua, dia cuba berhubung dengan Mohd Nur Rizqy selepas pelanggannya itu memuat naik status mengenai loghat Terengganu Najihah itu.

“Mohd Nur Rizqy menyatakan dia kagum dengan Najihah ketika mengambil pesanan dalam loghat tempatan hingga mencuit hatinya.

“Atas layanan baik yang diberikan Najihah itu, kami bagi pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memberi sijil penghargaan kepadanya,” katanya ketika ditemui di Marrybrown, Paka di sini, hari ini.

Joshua berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila Mohd Nur Rizqy turut hadir hari ini untuk menyaksikan penyampaian sijil terbabit.

Katanya, pihaknya juga meraikan Mohd Nur Rizqy bersama anak dan isterinya kerana memberi maklum balas secara tidak langsung layanan kakitangan Marrybrown.

Najihah pula berkata, dia sangat bangga apabila tugas yang dilaksanakan itu mendapat perhatian daripada pihak pengurusannya.

“Saya melaksanakan tugas yang diamanahkan majikan seperti biasa dan sebagai anak tempatan saya sudah biasa dengan loghat Terengganu.

“Saya tidak kisah untuk menggunakan loghat tempatan ini lagi selagi pelanggan dapat faham,” katanya.

Mohd Nur Rizky turut gembira apabila melihat Najihah menerima penghargaan daripada majikannya dan berharap ia akan dapat menjadi pembakar semangat.

Menurutnya, dia juga berharap ia akan memberi motivasi kepada Najihah dan kakitangan restoran itu untuk terus maju.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Marrybrown yang turut meraikan saya sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 12:06 AM