JOSHUA  (dua dari kiri) bersama Salahuddin (tiga dari kiri) pada pembukaan cawangan pertama Marrybrown di Australia.
JOSHUA (dua dari kiri) bersama Salahuddin (tiga dari kiri) pada pembukaan cawangan pertama Marrybrown di Australia.

MARRYBROWN, restoran perkhidmatan pantas (QSR) halal tempatan terbesar di Malaysia mencipta sejarah dengan pembukaan restoran pertamanya di Melbourne, Australia.

Pelancaran itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, sekali gus menandakan detik penting untuk Malaysia sebagai QSR halal tempatan yang pertama dibuka di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, pihaknya teruja dengan pelancaran jenama syarikat itu buat julung kalinya di Australia.

"Kami berbangga untuk membawa keunikan perisa Marrybrown dan layanan baik kepada pasaran Australia.

"Matlamat utama kami adalah untuk memberikan kepuasan kepada orang ramai melalui makanan yang sedap dan kami berharap makanan popular kami, termasuk ayam goreng rangup akan menjadi kegemaran pelanggan Australia dan Malaysia.

"Kami komited memberikan pengalaman makan di restoran yang berkualiti tinggi dan mengalu-alukan kedatangan mereka ke lokasi baharu kami di Melbourne," katanya dalam kenyataan.

Komitmen Marrybrown terhadap kualiti dan khidmat pelanggan boleh dilihat daripada keputusan untuk membuka restoran pertamanya di kawasan pinggir bandar Burwood, terletak betul-betul di Burwood One Shopping Centre.

Langkah ini dilihat memberikan manfaat kepada pembeli di kawasan berkenaan yang akan mendapat akses dan menikmati pengalaman mencuba makanan gabungan perisa unik Malaysia dan Barat.

Joshua berkata, menu Marrybrown pasti akan memuaskan selera semua orang dengan pelbagai pilihan makanan yang lazat.

Menurutnya, Marrybrown juga menyediakan sajian Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng dengan sate serta nasi kari.

Beliau berkata, kejayaan Marrybrown di pasaran Australia akan berterusan dengan pembukaan dua lagi restoran di daerah pusat perniagaan (CBD) Melbourne, sebelum akhir tahun ini, dan satu lagi di kawasan terkenal di Melbourne, iaitu Crown Casino.

Marrybrown juga komited untuk mengembangkan perniagaannya di setiap negeri di Australia dengan pembukaan 30 restoran pada masa akan datang.

Ketika ini, Marrybrown beroperasi di lebih 500 cawangan di 16 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:18 AM