RESTORAN Marrybrown di Pudu Sentral.
RESTORAN Marrybrown di Pudu Sentral.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) menyasarkan untuk membuka 25 cawangan setiap tahun di seluruh negara dan memberi peluang kepada rakyat tempatan menjana pendapatan menerusi francais syarikat makanan dan minuman segera berkenaan.

Ketika ini, Marrybrown mempunyai 147 cawangan di seluruh negara yang 80 peratus daripada jumlah itu dimiliki usahawan francaisi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Joshua Liew berkata, perniagaan francais ditawarkannya bukan saja terbuka kepada individu perseorangan tetapi boleh juga disertai entiti seperti koperasi.

Beliau berkata, pihaknya bercadang membuka sehingga 200 cawangan sehingga 2020 dengan memberi tumpuan di kawasan Lembah Klang dan pembukaan lebih banyak cawangan itu boleh memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menjadi usahawan Marrybrown.

“Bagi membuka satu restoran Marrybrown, usahawan perlu membayar RM120,000 bagi yuran francais dan bagi keseluruhan kos termasuk yuran dianggarkan sehingga RM800,000 bergantung kepada lokasi.

“Modal permulaan dilaburkan ini termasuk kos operasi, barangan, kedai, tenaga kerja dan yuran francais. Kami akan sediakan pelbagai latihan membabitkan operasi Marrybrown,” katanya kepada Bisnes Metro.

Setakat tahun lalu, Marrybrown mempunyai lebih 450 cawangan di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan menjana jualan RM900 juta dan dijangka nilai itu akan terus positif dari tahun ke tahun dengan pembukaan lebih banyak cawangan.

Joshua berkata, bagi perniagaan francais di Malaysia hanya terbuka kepada rakyat Malaysia saja dan usahawan perlu berasal dari tempat mereka ingin membuka cawangan baru Marrybrown.

Katanya, sekiranya penduduk di kawasan itu sendiri yang mengusahakan restoran, ia akan memberi lebih faedah kerana penduduk di kawasan itu lebih mengenali dan menyokong perniagaan mereka berbanding orang di luar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 7:10 AM