YUSUF (tiga dari kiri) dikelilingi peserta lain selepas menamatkan cabaran.
YUSUF (tiga dari kiri) dikelilingi peserta lain selepas menamatkan cabaran.
YUSUF buktikan usia bukan penghalang.
YUSUF buktikan usia bukan penghalang.
Syahid Sokri


Kulim: Faktor usia bukan penghalang buat seorang warga emas apabila turut melepasi garisan penamat untuk muncul antara kelompok 50 pelumba terawal tiba dalam saingan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park, di sini, baru-baru ini.

Yusuf Ali, 64, dari Titi Hayun, Yan boleh diibaratkan sebagai ‘otai’ masih berbisa kerana disegani pelumba muda di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Bekas warden penjara itu, berkata dia menjadikan hobi mengayuh basikal sebagai cara menjaga kesihatan selepas 11 tahun bersara daripada dunia pekerjaan.

“Selepas bersara, berat badan mula bertambah dan dilihat mempunyai tanda-tanda penyakit kencing manis dan darah tinggi menyebabkan saya mula mencari sukan yang sesuai sebagai senaman.

“Sebenarnya pelbagai senaman dicuba, namun semuanya tidak kena dengan jiwa kerana saya mahukan sesuatu lebih mencabar.

“Sejak seorang rakan memperkenalkan sukan ini lima tahun lalu, saya sudah jatuh cinta dengan basikal lasak ini,” katanya.

Katanya, dia kini sudah mendapat berat badan ideal, dan sentiasa menantikan mana-mana jamboree untuk disertai setiap tahun.

“Cabaran Harian Metro MTB memang sentiasa saya nanti-nantikan kerana pernah menyertainya ketika saingan di Lembah Bujang, Merbok pada 2013 lalu dan berjaya mendapat antara 15 terbaik.

“Sebenarnya sukar mendapatkan ranking terbaik dalam cabaran Harian Metro MTB kerana perlu bersaing dengan pelumba dalam dan luar negara walaupun dalam kategori veteran,” katanya yang melakukan rutin mendaki laluan di Gunung Jerai sejauh 14 kilometer dan mengelilinginya sejauh 60 kilometer sebagai latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 9:01 AM