Masziyaton.
Masziyaton.
Syahid Sokri

Kulim: Walaupun hanya mendapat tempat kedua dalam kategori Terbuka Wanita, ia bukan kegagalan kepada pelumba kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi.

Masziyaton, 28, mengakui tewas kepada atlet Thailand, Supuksurn Nuntana ketika berada di laluan jalan raya menyebabkan dia jauh ketinggalan di belakang.

“Saya tidak kecewa dengan pencapaian ini, malah akan berusaha untuk mendapatkan kayuhan terbaik sehingga kembali merampas gelaran juara semula.

“Pada masa sama, saya akui mungkin kalah disebabkan atas beberapa faktor terutama kekurangan latihan kerana berehat sempena Hari Raya dan berpuasa dalam bulan Ramadan.

“Sukar buat saya menentukan waktu latihan terutama apabila berpuasa dan pemakanan ketika hari raya juga menjadi antara faktor utama,” katanya.

Menurut Masziyaton, walaupun berada dalam kelompok tiga terbaik, dia berazam menebus semula kekalahan dalam Sirkit 2 dan 3 nanti.

Dia akan merancang semula jadual latihan selain menyusun semula strategi untuk kayuhan jarak jauh dan juga pendek.

“Menerusi perancangan ini saya akan dapat menilai pencapaian semasa menerusi latihan intensif untuk kembali mencabar pelumba lain.

“Harian Metro MTB tetap memberi saingan dan cabaran walaupun di kalangan kami terdiri daripada bekas pelumba kebangsaan dan juga negeri.

“Saya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain dan sentiasa mengharapkan sukan ini menjadi tarikan utama rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 8:11 AM