AHLI SBS ungguli acara MTB XC Challenge di Teluk Cempedak.
AHLI SBS ungguli acara MTB XC Challenge di Teluk Cempedak.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Kelab berbasikal SBS Giant Racing Team dari Gurun, Kedah, mencatat kenangan manis apabila lima daripada tujuh pelumbanya menggungguli acara Teluk Cempedak Down Hill & Cross Country (XC) Mountain Bike (MTB) International Challenge 2014, kelmarin.

Pelumba kebangsaan Muhamad Ayub Mohd Radzi, 22, muncul juara kategori terbuka apabila mencatat masa terpantas 54 minit 15.6 saat pada jarak 16.4 kilometer (km) menewaskan dua rakan sepasukan, Muaz Abd Rahim, 25, kedua ( 55:30) dan Ma Chaw Ying, 21, ketiga (56:55).

Pemenang membawa pulang wang tunai RM700, RM500 dan RM300 beserta pingat.

Rakan sepasukan yang juga atlet kebangsaan Mohd Fauzan Latif, 28, menjuarai kategori elit dengan masa 1 jam 7 minit 13 saat pada jarak 20.5 km juga menewaskan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Rosli, 22 (1:08:26) dan Ma Chaw Ying, ketiga (1:10:30).

Juara membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala kedua menerima RM700 dan ketiga (RM500).

Muhamad Ayub berkata, pasukannya beroleh keputusan luar jangkaan.

“Kami gembira kerana segala penat lelah mengharungi perjalanan jauh ke Pahang membuahkan hasil.

“Bagaimanapun kami sedikit terkilan kerana kakak saya yang juga pelumba skuad negara, Masziyaton, 26, tidak dapat mempamerkan kehebatannya kerana tiada penyertaan bagi kategori wanita kali ini,” katanya.

Muhamad Ayub yang pertama kali berlumba di Teluk Cempedak mengakui trek di Teluk Tongkang amat mencabar dari segi teknikal kerana peserta perlu melalui kawasan berpasir, berbukit, batu besar dan merentasi akar pokok yang melingkari kawasan litar.

“Trek ini adalah yang paling mencabar berbanding acara sama di seluruh negara dan hanya mereka yang berhati kental sahaja boleh mengharunginya.” katanya yang sudah terbabit dengan kejohanan berbasikal sejak berusia 15 tahun.

Sementara itu, Mohd Fauzan bersyukur kerana masih mampu bergelar juara dan mencatat masa terpantas walaupun lawannya adalah rakan sepasukan dan pelumba berpengalaman.

“Sokongan padu rakan lain yang sanggup mengiringi kami dan mengeluarkan wang saku seolah-oleh sudah terbayar dengan kemenangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:17 AM