SKUAD berbasikal bukit campuran memenangi pingat emas dalam acara rentas desa Olimpik. -FOTO Ihsan Fiz Said.
SKUAD berbasikal bukit campuran memenangi pingat emas dalam acara rentas desa Olimpik. -FOTO Ihsan Fiz Said.
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Kejutan dilakar skuad berbasikal bukit (MTB) negara apabila meraih pingat emas dalam acara rentas desa Olimpik campuran di Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Lebih manis, emas diraih Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Natahsya Soon dan Nur Assyira Zainal Abidin itu hadir dalam penyertaan pertama skuad MTB dalam acara berkenaan di temasya dwi tahunan itu.

Beraksi di venue terletak di Wilayah Hoa Binh - kira-kira 100 kilometer dari bandar Hanoi - mereka berjaya melengkapkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 23 minit dan 14, saat sekali gus mengenepikan tuan rumah, Vietnam.

Vietnam diwakili Van Linh Dinh, Van Nhat Bui, Thi Nhu Quynh Dinh dan Thi Thom Ca menamatkan saingan dengan 1:23.48s untuk meraih perak manakala gangsa menjadi milik Thailand (Supuksorn Nuntana, Warinthorn Phetpraphan, Phunsiri Sirimongkhon, Keerati Sukprasart), 1:24.54s.

"Saya sangat gembira kerana dapat meraih pingat ini untuk Malaysia.

"Saya nak ucapkan syukur Alhamdulillah kepada Allah kerana memberikan pingat emas ini dan juga terima kasih kepada semua," kata Ahmad Syazrin yang pernah memenangi Kejohanan Kebangsaan dalam acara rentas desa Olimpik lelaki elit pada Mac tahun ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu mengakui menggalas cabaran besar pada perlumbaan itu selaku pelumba pertama negara.

Menurutnya, pada beberapa ketika kilometer awal itu, ada jurang antara dirinya dan pelumba di kelompok depan sebelum pada tiga kilometer akhir, dia dapat mengejar dan menduduki tempat kedua.

Pingat emas itu adalah yang pertama dalam acara berkenaan selepas Malaysia turut pernah melakar gangsa menerusi Masziyaton Mohd Radzi di Sukan Sea Laos 2009 dalam acara rentas desa wanita.

Masziyaton kemudian menukar warna pingat berkenaan kepada perak pada edisi seterusnya di Indonesia, dua tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:15 PM