FIZA.
FIZA.
Norhayati Nordin


Sedekad membina nama dalam bidang pengacaraan bukanlah mudah. Pun begitu, segala usaha dan kerja keras personaliti TV, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 34, kini berhasil.

Mesra membahasakan diri dengan panggilan Fiza, pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 itu nyata sudah ada kelompok peminat.

Bukan populariti yang dikejar, Fiza berkata pembabitannya dalam bidang penyiaran khususnya pengacaraan adalah berpaksikan minat.

“Sebagai personaliti TV, saya tak nafikan memang gaya dan penampilan diri sangat dititikberatkan dan menjadi keutamaan.

“Menjadi perhatian masyarakat membuatkan saya cukup peka soal penampilan. Gaya dan imej haruslah sentiasa kemas.

“Pun begitu, saya sebenarnya sukakan gaya ringkas. Bahkan saya akan pastikan busana digaya susuai dengan majlis dihadiri,” katanya.

Kata Fiza, dia agak menjaga pemakanan hariannya kerana faktor berat badan. Tambah pula berat badannya mudah naik jika tidak menjaga pemakanan.

“Saya memang amalkan diet sihat. Antaranya saya akan kurangkan makan nasi. Kalau makan pun, saya pastikan nasi beras perang,” katanya.

Fiza juga suka berpuasa dan menjadi amalan yang selalu dilakukannya untuk diet. Selain itu, Fiza juga mengambil produk makanan bijian sihat mengandungi serat tinggi dikenali Quinoa.

“Makan Quinoa sangat membantu dalam proses menurunkan berat badan tetapi saya tidak memakannya selalu. Saya hanya makan apabila perlu.

“Saya juga amalkan makan buah-buahan seperti epal merah, epal hijau, tembikai dan tembikai susu,” katanya.

Mengenai kekerapan ke gimnasium, Fiza akui dia mengikut nasihat doktor supaya melakukan senaman yoga dan berenang saja kerana latihan kecergasan di gimnasium tidak sesuai untuknya.

“Saya sekadar bersenam yang biasa saja,” katanya.

Berkongsi tip yang diguna pakainya selama aktif sebagai pengacara, Fiza berkata dia sentiasa berpegang pada ingatan rakan senior seperti Ally Iskandar mengatakan sebagai pengacara perlulah cantik dan bijak.

“Saya suka membaca dan akan membuat persediaan secukupnya terhadap sesuatu perkara yang menjadi topik perbincangan.

“Saya juga suka bertanya dan banyak membuat rujukan supaya segala maklumat penting dapat dikongsi bersama penonton,” katanya.

Mengenai penjagaan suara, Fiza tiada sebarang pantang termasuk makan pedas atau minum ais.

Mengulas peruntukannya dalam sebulan untuk penjagaan penampilan, Fiza juga akui hanya berbelanja kecil untuk penjagaan penampilan iaitu RM500 sebulan. Jumlah itu untuk rawatan kuku yang dilakukannya setiap dua minggu, membeli pencuci muka dan produk kesihatan yang perlu saja.

“Sebenarnya, saya juga ada amalkan makan jamu. Ia untuk stamina dan kecergasan saya yang aktif bekerja,” katanya.

Berbicara soal persaingan dengan pengacara baru, Fiza berkata dia suka apabila makin ramai pengacara muda yang muncul.

Ujarnya, kehadiran pesaing itu diambil positif untuk dia sentiasa melakukan yang terbaik dalam tugas dan menggalas tanggungjawab.

“Setidak-tidaknya, saya tidak leka dan berada dalam zon selesa saja. Ia mendorong semangat saya untuk terus berusaha.

“Pada saya, setiap hari ada saja banyak perkara baru dipelajari. Cuma saya tidak boleh mudah berasa selesa,” katanya.

Menurut Fiza, kemuncak karier juga sama seperti kehidupan manusia. Ia umpama roda yang berputar dan tidak selama-lamanya akan di atas.

Selain mengacara WHI, Fiza juga pernah mengacarakan dua program lain iaitu Nona dan Singgah Sahur setiap Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:04 AM