NABIL buka studio zumba, Muay Thai sejak dua tahun lalu.
NABIL buka studio zumba, Muay Thai sejak dua tahun lalu.
Norhayati Nordin


Kesibukan kerja akibat terikat dengan jadual padat menyebabkan pelawak dan pengacara terkenal, Ahmad Nabil Ahmad, 33, terfikir betapa penting untuk menjaga kesihatan.

Bagi membolehkan dia bersenam tanpa mengira masa mendorong Nabil membuka studio zumba dan Muay Thai yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

Pengacara Gegar Vaganza 3 (GV3) itu kini tiada alasan untuk tidak bersenam. Setiap hari dia berada di studionya,Gymba di One Avenue, Bandar Utama dan ruang masa digunakan untuk bersenam.

“Selalunya kalau bersenam saya akan mengambil masa selama empat jam. Malah, jika banyak masa terluang saya bersenam dua kali dalam sehari.

“Saya memang mengambil berat mengenai kesihatan. Bersandarkan matlamat itu saya membuka studio sendiri,” katanya.

Bapa dua anak ini berkata, dia mula aktif bersenam pada 2013. Ketika itu disebabkan terlalu sibuk dengan kerja membuka matanya untuk mementingkan penjagaan kesihatan.

“Memikirkan lebih mudah bersenam tanpa mengira waktu, lebih baik saya tubuhkan studio sendiri. Saya nekad membuka studio yang menyediakan pakej latihan zumba dan Muay Thai,” katanya.

Kini Nabil gembira kerana semangatnya untuk bersenam makin membuak-buak tatkala melihat aktiviti sihat itu dilakukan pelanggan yang datang ke studionya.

“Takkan saya nak tengok saja pelanggan datang bersenam. Sebagai pemilik studio, saya pun tak mahu lepaskan peluang.

“Melalui masa lapang yang ada, saya gunakan untuk bersenam juga. Aktiviti bersenam bagus untuk kesihatan,” katanya.

Berkongsi amalan penjagaan pemakanan, Nabil berkata, tidak lengkap jika hanya melakukan senaman kerana menjaga pemakanan dengan diet seimbang sangat perlu.

“Kini saya amalkan makan nasi beras perang. Sudah sembilan bulan saya tak makan nasi putih. Malah saya juga selalu makan oat termasuk lebihkan sayuran dan buah-buahan.

“Dalam penyediaan makanan pula, saya pastikan hidangan dimasak menggunakan minyak zaitun yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Tidak hairan apabila melihat Nabil sangat lincah ketika mengacara. Ini kerana, dia begitu menjaga kesihatan termasuk stamina.

Apabila badan sihat, secara tidak langsung mempengaruhi gaya dan penampilan. Dalam soal ini, Nabil juga bijak bergaya.

Mengenai penampilan, Nabil gemarkan pemakaian ringkas. Di rumah dia selesa mengenakan seluar trek dan kemeja-(T) sahaja. Jika keluar bersama keluarga atau bertemu rakan, dia gayakan padanan jean, kemeja-’T’ bersama jaket.

“Bagi menghadiri majlis hiburan pula, saya selalunya suka mengikut tema ditetapkan. Apa pun, saya selalu tampil dengan gaya tersendiri.

“Saya sukakan gaya elegan. Sebagai selebriti, penampilan dan gaya harus diutamakan. Mana yang baik dan boleh dicontohi peminat, saya suka kongsi. Bagi saya, semua orang sukakan penampilan menarik.

“Apapun, untuk tampil bergaya perlu bijak memilih pakaian sesuai dan selesa. Pada saya, setiap orang ada pilihan sendiri,” katanya.

Anak jati dari Mambau, Negeri Sembilan ini suatu ketika dahulu hanya bekerja sebagai penghantar surat. Bagaimanapun, Nabil nekad usaha hingga berjaya mengubah nasib hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:05 AM