DARI kiri Fedtri, Fiza, Sarah dan Fakhrul mula terserlah dengan program masing-masing.
DARI kiri Fedtri, Fiza, Sarah dan Fakhrul mula terserlah dengan program masing-masing.
Ramlah Zainal


Walaupun bertugas di bawah satu bumbung, empat personaliti popular TV3 ini jarang bertemu kerana sibuk dengan komitmen dan tuntutan tugas masing masing.

Apatah lagi, kemunculan ramai personaliti dan bakat baru yang mewarnai pelbagai program TV ketika ini.

Selain bercerita mengenai perkembangan program dikendalikan, barisan personaliti senior iaitu Fiza Sabjahan (Wanita Hari Ini), Ahmad Fedtri Yahya (Madrasah), Fakhrul Radhi (Duta Skuad Terima Kasih TV3) dan Sarah Adiba Yussof (999) turut berkongsi cerita menarik mengenai sambutan Aidilfitri mereka, baru-baru ini.

Fiza sebati dengan WHI

Jiwa Fiza, 34, sudah sebati dengan program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) sejak 2010.

Menurut Fiza, banyak ilmu dan pengalaman berharga ditimba sepanjang mengacarakan WHI serta semakin mematangkannya dalam bidang pengacaraan.

“Selain WHI, saya juga mengacarakan program Eksperimen Sosial sekali gus memberi pengalaman berbeza buat diri.

“Apa yang menarik, saya tidak perlu tampil cantik dan bergaya depan kamera apabila buat program ini,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Fiza turut menjayakan kempen Skuad Terima Kasih TV3.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Fiza yang sudah tiga tahun beraya secara solo meraikannya bersama keluarganya di Klang, Selangor.

“Pada hari raya pertama lalu, rumah kami meriah dengan kehadiran ahli keluarga nenek yang juga keturunan Cina dari Tanjung Sepat.

“Pada raya kedua dan seterusnya, saya pulang beraya bersama keluarga di Klang,” katanya.

Fedtri mahu bela kanak-kanak mangsa dera

Pengacara program Madrasah musim keenam ini menanti peluang untuk menghasilkan program memaparkan kes jenayah dan penderaan membabitkan golongan kanak-kanak.

Oleh itu, peluang mengacarakan program khas satu episod Mana Kawan Adik sukar untuk dilepaskannya.

Program khas itu ditayangkan di TV3 semalam.

“Selepas bergelar bapa, saya berasa terpanggil untuk membela nasib golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan kes jenayah kejam seperti kes Nurin Jazlin dan ramai lagi.

“Ia juga membabitkan temu bual bersama pakar perubatan. Hasil kajian mendapati rata-rata kes jenayah membabitkan teman lelaki kepada ibu mangsa dera terbabit,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Syawal, Ahad lalu, Fedtri sekeluarga meraikannya di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

“Isteri saya masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga pada 1 Ramadan lalu.

“Ibu mentua juga kurang sihat dan saya juga mengambil pembantu untuk menjaga makan minum isteri sepanjang tempoh berpantang,” katanya.

Fakhrul raya di Makkah

Pengacara program Qari Junior dan Kalamullah di TV3 ini juga baru tahun pertama menjayakan kempen Skuad Terima Kasih TV3.

Menurut Fakhrul, selaku duta, dia bertanggungjawab menyebarkan mesej kempen skuad terima kasih itu.

“Saya juga turun padang bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam misi rantaian kasih membabitkan golongan OKU yang ada masalah di bahagian saraf otak dan pendengaran.

“Hasil lukisan golongan OKU juga dilelong kepada orang ramai dan hasil jualannya disalurkan kepada tabung khusus untuk membantu golongan kurang bernasib baik berkenaan,

“Tidak ketinggalan, saya juga terbabit dalam aktiviti jom masjid dan jom bazar di lokasi terpilih di serata tanah air,” katanya.

Fakhrul yang juga anggota UNIC kini berada Makkah bersama keluarganya dan turut menyambut Aidilfitri di sana.

Dia yang juga mutawif membawa seramai 100 jemaah ke Makkah selama sembilan hari di sana.

Sarah mahu tampil lebih santai

Personaliti muda yang digilap bakatnya dari program Clever Girl ini mengambil alih mengacarakan program 999 daripada Hazlin Hussein, sejak Mei lalu.

Sarah, 27, yang juga bekas jurutera berkata, dia juga tidak mahu terikut-ikut dengan gaya pengacara terdahulu mengacarakan program berkenaan.

“Saya baru bersiaran sebanyak tujuh episod dan belum turun ke lokasi lagi. Pada peringkat awal buat program ini, ia memang sangat mencabar.

“Saya juga banyak menimba ilmu daripada pengacara berpengalaman seperti Fiza dan Ally Iskandar. Sebagai kelainan, saya juga ingin menampilkan imej yang lebih segar dan santai,” katanya.

Bercerita sambutan Aidilfitri lalu, ia juga tahun kedua Sarah beraya sebagai isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:02 AM