FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Santubong: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuching berjaya menumpaskan aktiviti pencerobohan dan penangkapan ikan tanpa lesen di perairan Sarawak, Isnin lalu.

Tangkapan dibuat kira-kira 190 batu nautika, utara Tanjung Po di sini, antara jam 6.40 hingga 10.40 pagi, Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, dalam pemeriksaan itu lima kapal nelayan berdaftar di Vietnam dirampas dan 52 nelayan warga Vietnam berusia 16 hingga 56 ditahan.

Menurutnya, sebanyak 20,000 kilogram ikan hasil tangkapan turut dirampas.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkankira-kira RM7 juta.

"Semua nelayan yang ditahan, direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

"Sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara lebih dua tahun untuk tekong, manakala awak-awak boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya.

Katanya, APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam berhubung aktiviti yang melanggar undang-undang di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak di talian 082-432544.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:15 PM