PASUKAN Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan pada bot nelayan warga Vietnam yang ditahan. FOTO L Manimaran
PASUKAN Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan pada bot nelayan warga Vietnam yang ditahan. FOTO L Manimaran
Garret Dawum


SERAMAI 29 nelayan warga Vietnam yang sedang leka mengaut hasil laut di perairan Sarawak di kawasan 80 batu nautika utara Kuching ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.

Mereka berusia 20 hingga 50 tahun yang menaiki dua bot dengan nombor pendaftaran KG91284TS dan KG93918TS ditahan pada jam 5 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak Komander Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan daripada komuniti maritim mengenai kegiatan nelayan berkenan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot sedang membawa tiga tan hasil laut iaitu ikan pelbagai jenis dan ikan baja dipercayai ditangkap secara haram termasuk diesel sebanyak 16,000 liter.

“Kedua-dua bot, ikan dan peralatan menangkap ikan yang dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya dalam sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas, di sini, hari ini.

Hamiludin berkata, ketika ditahan, tekong dan awak-awak di dalam bot terbabit juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka kini sudah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Kami mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang dengan laporan boleh disalur menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:48 PM