Ismaili menunjukkan lapan kapal nelayan dan satu kapal induk yang ditahan di Perairan Tanjung Manis, Sarikei, 15 Jun lalu.
Ismaili menunjukkan lapan kapal nelayan dan satu kapal induk yang ditahan di Perairan Tanjung Manis, Sarikei, 15 Jun lalu.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Santubong: Sembilan kapal nelayan dan 105 tekong serta awak-awak warga asing ditahan ketika memunggah hasil laut tanpa permit di 0.6 Batu Nautika dari Pelabuhan Tanjung Manis, Sarikei, 15 Jun lalu.

Dalam pemeriksaan pada 1.15 tengah hari oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu, 200,000 kilogram (kg) hasil laut dirampas.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama, Ismaili Bujang Pit berkata, lapan kapal nelayan yang berdaftar didapati memunggah hasil tangkapan ke sebuah kapal induk asing dari Thailand tanpa permit sah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lapan kapal nelayan itu sudah melanggar syarat lesen kerana gagal mengemukakan sebarang kebenaran atau permit pemunggahan ikan dari kapal ke kapal.

"Sebuah kapal induk asing gagal mengemukakan dokumen berdaftar dengan mana-mana agensi sebagai kapal kargo untuk melakukan sebarang aktiviti memunggah hasil laut secara sah," katanya ketika sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas di sini, hari ini.

Ismaili berkata, semua sembilan kapal bersama tekong dan awak-awak ditahan dan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Kastam dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:00 PM