ANGGOTA APMM mengangkat mayat pemilik bot nelayan tempatan, Chin Ted Liung, 66, yang meninggal dunia secara mengejut di  laut di kedudukan 21 batu Nautika Timur Laut dari Muara Tebas untuk di bawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, (KOMTAS) Muara Tebas, Kuching. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM mengangkat mayat pemilik bot nelayan tempatan, Chin Ted Liung, 66, yang meninggal dunia secara mengejut di laut di kedudukan 21 batu Nautika Timur Laut dari Muara Tebas untuk di bawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, (KOMTAS) Muara Tebas, Kuching. FOTO Ihsan APMM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEMILIK bot meninggal dunia ketika keluar menangkap ikan di kedudukan 21 batu nautika Timur Laut Muara Tebas, Kuching, malam tadi.

Chin Ted Liung, 66, disahkan meninggal dunia 9.15 malam selepas sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak dipanggil memberikan bantuan kecemasan.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, lelaki terbabit bersama beberapa krew bot keluar untuk menangkap ikan petang semalam.

Menurutnya, ketika belayar, lelaki terbabit ditemui pengsan petang semalam oleh krew bot berkenaan.

"Krew berkenaan kemudian bergegas memaklumkan kejadian kepada Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

"Sepasukan pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Siagut kemudiannya diatur gerak ke lokasi bot berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilik bot kemudian disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa menaiki KM Siagut ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, (KOMTAS) Muara Tebas untuk diserahkan kepada keluarga jam 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, kemalangan atau kecemasan di laut Sarawak, nelayan atau pemilik bot diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak 082-432544 atau talian kecemasan 999 supaya tindakan segera dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:53 PM