MOHAMMAD Hakimi (berbaju putih, berkain pelekat) mengetuai 35 sukarelawan menaiki rumah bot selama tiga jam untuk ke perkampungan Orang Asli di Kampung Chiong, Banding Gerik, Perak, baru-baru ini.
MOHAMMAD Hakimi (berbaju putih, berkain pelekat) mengetuai 35 sukarelawan menaiki rumah bot selama tiga jam untuk ke perkampungan Orang Asli di Kampung Chiong, Banding Gerik, Perak, baru-baru ini.

Tanggungjawab terhadap saudara baru tidak terletak di bahu pihak tertentu seperti jabatan agama atau pertubuhan sahaja, tetapi juga masyarakat setempat.

Atas kesedaran ini, satu kumpulan sukarelawan muda diketuai Mohammad Hakimi Abdul Mutalib, 29, dari Gerik, Perak, menganjurkan misi dakwah kepada saudara baru dan golongan yang mahu mengenali Islam khususnya Orang Asli.

Beliau yang memiliki Ijazah Usuludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir berkata, sukarelawan dipimpinnya sejak awal tahun lalu, menumpukan kepada dakwah bil hal iaitu membantu penduduk Orang Asli bukan saja dengan memberi makanan dan pakaian, tetapi juga bersama mereka dalam beribadah.

Terbaru, beliau mengumpulkan 35 sukarelawan termasuk sembilan wanita dari Perak dan Kedah bagi menjayakan program Misi Dakwah, Kembara Syahadah dan Ziarah Aidilfitri di perkampungan Orang Asli Kampung Chiong, Banding, Gerik.

Misi dua hari satu malam itu memerlukan mereka menyewa rumah bot dan menempuh perjalanan dari Jeti Banding selama tiga jam di Tasik Temengor bagi bertemu dengan 263 Orang Asli daripada 52 keluarga suku Temiar di kampung berkenaan.

Sukarelawan itu tidak hanya berdakwah kepada penduduk yang sudah memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu, tetapi berusaha memberi kefahaman kepada mereka yang belum Islam.

Menurutnya, misi itu penting bagi memastikan Orang Asli memahami mengenai Islam selain membantu mereka serba kekurangan dengan membawa pelbagai bahan makanan untuk dimasak dan dihidangkan kepada Orang Asli di kampung itu supaya dapat merasai suasana Aidilfitri.

“Untuk misi kali ini, kami bergotong-royong memasak bersama Orang Asli untuk jamuan Aidilfitri seperti membakar lemang, memasak nasi, lauk-pauk dan mi.

“Pelbagai biskut raya juga diagihkan kepada penduduk yang 90 peratus daripadanya sudah memeluk Islam selain memantapkan akidah mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau turut mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi menjayakan misi sukarelawan itu selain menggunakan pengalaman berdakwah kepada masyarakat bukan Islam di Keningau dan Nabawan, Sabah, dua tahun lalu.

Mohammad Hakimi berkata, sebuah lagi kampung iaitu Kuala Sungai Tiang di Royal Belum, Banding yang dihuni beberapa keluarga daripada suku Jahai turut dibantu sebelum ini tetapi belum sempat menziarahi mereka tahun ini kerana terletak jauh dan memerlukan kos yang tinggi.

“Saya hanya menggunakan media sosial seperti WhatsApp dan Facebook untuk meminta derma ikhlas daripada orang ramai untuk misi dakwah kami.

“Kami bercadang masuk lagi ke Kampung Chiong pada pertengahan Ogos. Selain meneruskan misi pengukuhan dakwah, kami mahu memberi bantuan kepada mereka sekadar termampu,” katanya.

Mereka yang mahu memberi sumbangan boleh menghubungi Mohammad Hakimi di nombor telefon 019-4038120.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chiong, Ramli Aieng, 52, berterima kasih kepada sukarelawan dipimpin Mohammad Hakimi kerana sudah tujuh kali menziarahi mereka, tahun ini.

“Kami tidak pernah menganggap program ini memaksa kami memeluk Islam, tetapi penerangan mereka mengenai Islam menyebabkan kami terpikat dengan agama dibawa mereka,” katanya. - D J Dolasoh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:53 AM