Nur Halimah Abdullah@Bah Tarek (kanan) menunaikan solat Maghrib yang diimamkan Abd Halim (kiri) di kediamannya perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Nur Halimah Abdullah@Bah Tarek (kanan) menunaikan solat Maghrib yang diimamkan Abd Halim (kiri) di kediamannya perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kampar: Rumah Amek atau nama sebenarnya Nur Halimah Abdullah menjadi lokasi umat Islam di perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom di sini untuk solat jemaah dan mendalami ajaran Islam berikutan ketiadaan surau di kawasan itu sejak 25 tahun lalu.

Rumah dimiliki Amek yang bermaksud ibu dalam bahasa Semai itu dijadikan pusat pertemuan untuk merapatkan saf selain tujuan beribadah kira-kira tiga tahun lalu kerana Nur Halimah adalah antara individu pertama memeluk Islam di kampung itu pada 1996.

Dia yang berkahwin dengan lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 19 tahun berkata, ruang solat yang disediakan di rumahnya hanya mampu memuatkan seramai 20 jemaah.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi komuniti kecil umat Islam membabitkan enam keluarga di situ dijangka selesai apabila kakaknya, Wan Icha Bahtarek, 56, bersetuju untuk menghadiahkan tanahnya untuk dijadikan sebuah surau yang dijangka dapat memuatkan 40 jemaah.

Walaupun bukan beragama Islam, Wan Icha berlapang dada memberikan tanahnya sebagai tanda kasih sayang sebuah keluarga supaya komuniti itu memiliki surau pertama mereka di kawasan yang turut mempunyai gereja berdekatan.

"Saya harap surau baharu itu dapat dibina segera supaya kami dan orang luar yang datang ke kampung ini dapat menunaikan solat di situ.

"Sebelum ini banyak program diadakan di sini termasuk program anak angkat bersama institut pengajian tinggi yang turut menunaikan solat berjemaah di rumah saya, jadi selepas ini mungkin surau itu dapat digunakan untuk orang ramai yang datang," kata Amek kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Amek berkata surau, berkeluasan 1.85 x 3.7 meter persegi itu bakal dibina menggunakan wang sumbangan orang ramai menerusi dana dikumpulkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Street Dakwah yang kini mencecah anggaran RM40,000.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Kampar, tapak surau yang berada di tengah-tengah kampung itu amat strategik sebagai pusat aktiviti masyarakat sekampung dan sekitarnya untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Agama Islam (Mubaligh) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Abd Halim Abdul Latiff berkata, pihaknya akan mengadakan kursus dan latihan yang bersesuaian kepada komuniti tersebut termasuk menyediakan pelapis pendakwah dalam kalangan mereka.

Abd Halim yang turut ditugaskan di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata pembinaan surau itu antara lain akan menjadi lokasi pembelajaran kelas agama Fardu Ain selain solat jemaah, solat tarawih, solat sunat Aidilfitri dan sebagainya.

"Kita berharap pembinaan surau ini dapat dimulakan segera sebaik memperoleh kebenaran selepas keadaan pulih daripada pandemik," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu pembinaan surau tersebut dan bantuan berkaitan Orang Asli boleh menghulurkan sumbangan kepada akaun Street Dakwah di 25811400003238 (RHB Bank) atas nama Pertubuhan Kembara Dakwah Jalanan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 2:15 PM