PELUMBA BCT janji beri saingan pada HMMTB nanti.
PELUMBA BCT janji beri saingan pada HMMTB nanti.
Omar Osman


Sungai Petani: Nama Bujang Cyclist Team (BCT) memang tidak asing buat kaki sukan basikal lasak dan pasukan itu mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi cabaran kali ini.

Berbekalkan teknik dan pengalaman meredah laluan berbukit di sekitar Lembah Bujang, di sini, BCT yakin mampu memberi saingan kepada pelumba lain dengan melakukan sesuatu di luar dugaan.

Presiden Mohd Hafeiz Abu Zarin berkata, mereka tidak mahu mendabik dada tetapi mempunyai strategi tersendiri biarpun kehilangan pelumba berbakat kerana mewakili Kedah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak.

“Kami kini mempunyai 25 ahli berusia antara 10 hingga 45 tahun selain beberapa pelumba berpotensi yang pernah beberapa kali menaiki podium dan menduduki 10 pasukan terbaik dalam saingan MTB sebelum ini.

“Kali ini, tujuh pelumba akan membawa cabaran kami dalam kategori lelaki terbuka, senior dan junior master tapi kami tidak meletak sebarang sasaran, cuma yakin mereka mampu melakukan kejutan,” katanya.

Katanya, sebagai persediaan, pelumba BCT menjalani latihan meredah laluan sukar dan berbukit di Lembah Bujang yang sering menjadi pilihan lokasi latihan, selain merangka teknik kayuhan bagi mengatasi halangan sukar serta saingan pelumba lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 8:25 AM