JUHARI (depan empat dari kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon teater Lela Manja.
JUHARI (depan empat dari kanan) bersama pengarah dan barisan pelakon teater Lela Manja.

Peminat filem Melayu klasik era hitam putih tentunya tahu mengenai filem Lela Manja arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong terbitan Malay Film Productions Ltd yang mendapat sambutan ramai.

Filem lakonan A Rahim, Normadiah, Datuk Ahmad Mahmud serta Bat Latiff yang dihasilkan pada 1960 itu diingati kerana memaparkan kisah dua beradik Lela dan Manja yang sering menjadi mangsa dera ibu tiri.

Selepas lebih lima dekad berlalu, filem pecah panggung ini bakal diadaptasikan dalam bentuk teater di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 Julai serta 29 hingga 31 Julai ini.

Rasionalnya, cetusan idea menghasilkan teater ini bertujuan mengetengahkan filem Melayu klasik ke pentas teater dan mengangkat martabat klasik di persada antarabangsa.

Pengarahnya, Ramli Lani berkata, naskhah ini dipilih kerana mempunyai kekuatan tersendiri serta memiliki unsur nasihat dan ketaatan serta kecintaan kepada negara.

“Selain aspek ini, kami turut mengajak penonton mendalami maksud tersurat dan tersirat dalam setiap bait lakonan pelakon serta menggabungkan teknik pementasan teater dan kecanggihan di Panggung Sari.

“Kami akan memanfaatkan setiap ruang yang ada untuk menghasilkan yang terbaik. Istana Budaya dipilih kerana ia lambang kemegahan dalam industri kreatif teater negara dan tersenarai antara 10 panggung tercanggih di dunia setanding dengan Royal Albert Hall di London,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani memuji usaha penerbit Creative Impact Solutions yang memilih mementaskan Lela Manja dalam bentuk teater.

“IB sentiasa menyokong idea begini kerana dapat memperkenalkan naskhah klasik yang hebat buat generasi baru. Apatah lagi gandingan pelakon baru dengan yang berpengalaman dapat memantapkan lagi teater ini dan seterusnya akan menarik pelbagai golongan untuk hadir menonton,” katanya.

Lela Manja arahan Ramli Lani yang dibantu oleh Khairulnazwan Rodzy sebagai penolong pengarah serta skrip oleh Hairul Anuar mempertaruhkan pelakon popular tanah air antaranya Nabila Huda, Aeril Zafrel, Hafidz Roshdi, Syazwan Zulkifli dan Jay Iswazir.

Tiket untuk menonton berharga RM30 hingga RM250 dan boleh didapati di AirAsiaRedtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 1:10 PM