Selepas hari raya ini ramai pihak menantikan karya besar Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck diangkat ke pentas teater apabila bakal dipersembahkan di Istana Budaya.

Cik Pang dengar cerita, persiapan kini giat dilakukan terutama membabitkan kerja praproduksi. Skripnya pun sudah siap dan barisan pelakon juga sebahagian besarnya sudah bersetuju membintangi teater itu.

Cuma yang membuat Cik Pang sedikit terkilan apabila Remy yang dikatakan ditawarkan memegang watak utama yang diangkat dari novel Hamka itu menolak tawaran terbabit.

Menurut sumber, Remy menolak tawaran itu kerana bakal sibuk dengan persiapan pementasan teater Maduku Kalut yang mula dipentaskan di dewan sama bermula awal Ogos. Selepas itu dia sibuk dengan penggambaran drama episod yang dipersetujui lebih awal.

Remy memaklumkan kepada rakan Cik Pang dia tidak mungkin mampu mengikuti sesi latihan dalam waktu sama sibuk menjalani penggambaran.

Tambah pula watak drama teater yang mengangkat naskhah hebat dan sudah pun difilemkan oleh produksi Indonesia itu sangat berat. Tegas Remy, kalau dia mahu melakukannya, tumpuan penuh harus diberikan.

Remy mengambil keputusan itu walaupun berat kerana tidak mahu menyusahkan produksi di kemudian hari.

Apabila perkara ini berlaku, Cik Pang tertanya-tanya kesudahannya apa tarikan yang ada dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck selain naskhah itu sendiri.

Dalam pementasan teater, bintang yang melakonkan watak utama adalah tarikan untuk peminat datang menontonnya di panggung.

Bagaimanapun kata sumber, produksi lega apabila Izara Aishah bersetuju berlakon. Malah ada beberapa lagi nama besar turut bersetuju membintangi teater ini dan ia akan diumumkan selepas Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:00 AM