AKMAL   (kiri) tekad pamer aksi cemerlang di Olimpik Rio.
AKMAL (kiri) tekad pamer aksi cemerlang di Olimpik Rio.
myMetro

Kuala Lumpur: Muhd Akmal Nor Hasrin berharap pengalaman dimiliki dua pemanah senior Khairul Anuar Muhamad dan Haziq Kamaruddin mampu membantunya mengharungi cabaran di Olimpik Rio nanti.

Berbanding Khairul Anuar dan Haziq yang sudah beraksi di Olimpik London, Akmal tampil buat kali pertama di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Memang saya tidak sangka dapat beraksi di Olimpik. Perasaan gementar sememangnya ada, namun ia normal bagi seorang atlet.

“Saya akan cuba berkongsi pengalaman dengan dua rakan sepasukan kerana mereka sudah lama dalam pasukan. Apa yang penting saya perlu berusaha keras sepanjang tempoh latihan dan baki masa yang ada,” kata pemanah berusia 21 tahun dari Negeri Sembilan itu.

Trio memanah negara itu kini giat menjalani latihan di Korea Selatan sejak awal bulan sebagai persiapan terakhir menghadapi Olimpik Rio.

“Latihan di Korea peluang terakhir kami untuk membaiki kelemahan dan kekurangan,” jelasnya.

Memanah adalah acara berpasukan tunggal membabitkan kontinjen Malaysia di Rio selepas meraih tiket di Turki pada pertengahan bulan lalu.

Malaysia tidak pernah gagal menghantar pemanah sejak Olimpik 2004 Athens namun sukan tu masih belum mampu menyumbang pingat buat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 8:26 AM