JAE Hyung mengingatkan Zarif dan Akmal agar mengekalkan momentum sedia ada. FOTO NSTP
JAE Hyung mengingatkan Zarif dan Akmal agar mengekalkan momentum sedia ada. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemanah negara Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin mampu mengikut jejak langkah Olimpian negara Khairul Anuar Mohamad, yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo.

Ketua jurulatih memanah negara Lee Jae Hyung melontarkan keyakinan berkenaan, selepas Muhamad Zarif, 22, dan Muhammad Akmal, 25, mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika sesi latihan dijalankan.

Jurulatih dari Korea Selatan itu juga, mengingatkan mereka agar mengekalkan momentum sedia ada sebelum dijadualkan turun menguji panahan mereka pada Piala Asia di Gwangju, Korea Selatan pada 4 hingga 15 Jun depan.

"Saya harap mereka dapat meningkatkan lagi prestasi di Korea Selatan, dengan memperkemaskan lagi teknik panahan sebelum menghadapi cabaran sebenar pada kempen kelayakan Olimpik terakhir di Paris pada 18 hingga 20 Jun, bagi menjamin tempat ke Tokyo nanti," katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Anuar mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia Datuk Abdul Hamid Hasan ketika dihubungi percaya, Muhamad Zarif mampu menggantikan Allahyarham Haziq Kamaruddin untuk cuba merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Menurutnya maklum balas diterima oleh Jae Hyung menunjukkan, Muhamad Zarif bersama Muhammad Akmal memperagakan panahan yang baik dalam sesi latihan disertai mereka, ketika ini.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berharap agar tuah ke Sukan Olimpik di Tokyo menjadi milik Muhamad Zarif dan Muhammad Akmal, sekiranya mereka menampilkan persembahan mengagumkan pada kelayakan di Paris nanti.

Haziq, 27, yang dijadual beraksi pada kempen kelayakan di Paris, meninggal dunia Jumaat lalu apabila rebah di rumahnya di Kajang, Selangor selepas menunaikan solat Subuh.

Haziq kemudian dibawa ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 8:51 PM