Kuala Lumpur: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) meletakkan kepercayaan penuh kepada jurulatih Lee Jae-hyung untuk memastikan trio memanah negara meraih tiket ke Olimpik Rio.

Presiden Yazid Yahya berkata, jurulatih dari Korea Selatan itu diharapkan mampu merealisasikan impian untuk ke Rio dalam acara berpasukan.

NAAM sudah meraih tiket dalam acara individu menerusi Khairul Anuar Mohamad (gambar) yang muncul juara di saingan kelayakan yang berlangsung sempena Kejohanan Memanah Asia di Thailand pada November tahun lalu.

“Fokus utama NAAM adalah memastikan layak acara berpasukan lelaki yang masih mempunyai kekosongan tiga pasukan untuk ke Rio.

“Peluang terakhir pemanah negara adalah ketika sirkit Piala Dunia di Antalya, Turki pada Jun nanti. Satu pertandingan berasingan akan berlangsung membabitkan negara yang masih belum layak.

“Kita perlu meraih kedudukan tiga terbaik untuk mara ke Rio. Jadi saya berharap mereka akan mendapat pendedahan sepatutnya sebelum turun beraksi di Turki,” jelasnya.

Pemanah negara tidak pernah gagal melangkah ke pentas Olimpik sejak 2004 di Athens namun masih kempunan menyumbang sebarang pingat.

Sehingga kini hanya empat atlet terjun dan seorang pemanah layak ke Olimpik Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:45 AM