Reuters

Zurich: Badan induk bola sepak dunia FIFA berjanji mengambil ‘langkah sewajarnya’ selepas satu laporan mendedahkan berdozen-dozen kes positif doping dalam bola sepak Russia antara beratus-ratus yang diselewengkan Moscow.

Bagaimanapun, FIFA tidak memberi komen mengenai dakwaan dalam laporan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bahawa Menteri Sukan Russia Vitaly Mutko (gambar), yang berada dalam Majlis Penasihat FIFA, mengarahkan kes itu disembunyikan terutama bagi kes bola sepak.

Laporan bebas WADA, diketuai siasatan peguam Kanada Richard McLaren, menumpukan terhadap tuduhan doping secara sistematik atlet Russia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sochi pada 2014.

Menurutnya, Moscow menyembunyikan beratus-ratus kes doping positif dalam beberapa jenis sukan termasuk bola sepak menjelang temasya itu.

“FIFA akan meminta semua butiran daripada WADA mengenai kes individu doping dalam bola sepak Russia yang disebut dalam laporna McLaren,” menurut FIFA dalam satu kenyataan.

“Sebaik FIFA menerima maklumat daripada WADA, kami akan mengambil langkah sewajarnya.”

Laporan itu menyebut Timbalan Menteri Sukan Russia Yuri Nagornykh memutuskan atlet mana mendapat faedah dalam arahan yang dikenali sebagai SAVE, sekalipun Mutko jelas membuat keputusan berhubung pemain bola sepak.

“Ketua penyiasat mengetahui sekurang-kurangnya seorang pemain luar bermain dalam Liga Russia mendapat faedah arahan SAVE,” menurutnya.

Sebelas pemain bola sepak Russia turut mendapat faedah daripada skandal itu selepas gagal doping, menurut laporan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:45 AM