MUTKO gantung tugas selama enam bulan.
MUTKO gantung tugas selama enam bulan.
AFP

MOSCOW: Timbalan Perdana Menteri Russia, Vitaly Mutko yang dijatuhkan larangan seumur hidup oleh Sukan Olimpik susulan doping berkata beliau menggantung peranannya sebagai Presiden Kesatuan Bolasepak Russia (RFU), semalam.

Mutko berkata, beliau mengambil tindakan berkenaan kerana ingin mencabar keputusan larangan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Saya sudah memutuskan untuk memfailkan tuntutan kepada CAS, esok,” kata Mutko kepada wartawan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Eksekutif RFU, semalam.

“Jadi persatuan kami tidak terganggu ketika siasatan perundangan... Saya sudah meminta untuk menggantungkan tugas saya untuk tempoh enam bulan.”

Kata Mutko, beliau akan meneruskan tugasnya bersama kerajaan selain persediaan Piala Dunia yang akan berlangsung di Russia, musim panas ini sehingga pemimpin tertinggi negara berkenaan memutuskannya.

“Berhubung dengan isu mengenai hubungan dengan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan Jawatankuasa Penganjur, selagi Presiden (Vladimir Putin) mempercayai saya, saya akan meneruskan kerja sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mengawasi persediaan bagi Piala Dunia.”

Mutko berkata, beliau akan bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia yang disandangnya tetapi “ia akan ditentukan oleh ketua negara, ketua kerajaan dan Lembaga Penyelia.”

Kata Mutko, Pengarah RFU, Alexander Alayev akan menyandang jawatannya secara sementara sehingga tamat penggantungan yang dijangka kurang daripada enam bulan bergantung kepada tempoh prosiding perundangan.

Alayev memberitahu wartawan harapan beliau adalah untuk “mengekalkan kestabilan” dan “mengelak sebarang skandal” sepanjang tempoh enam bulan.

Mutko berkata dia memutuskan untuk mencabar hukuman larangannya di mahkamah kerana percaya kegagalannya melakukan perkara berkenaan membuatkannya nampak bersalah.

“Saya tidak meletakkan jawatan, mandat saya masih aktif.”

Mutko pada bulan ini dikenakan larangan seumur hidup daripada Sukan Olimpik selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mendakwa beliau terbabit dalam program doping yang disokong oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 2:45 PM