ANTARA contoh perabot yang dihantar untuk diuji di makmal berkenaan.
ANTARA contoh perabot yang dihantar untuk diuji di makmal berkenaan.
KATIL turut diuji di makmal FRIM.
KATIL turut diuji di makmal FRIM.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Kekayaan hasil hutan Malaysia menyebabkan industri perabot kayu makin berkembang, sekali gus mendapat tempat di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, perusahaan itu tidak hanya tertumpu kepada produk kayu kerana perabot yang mahu dieksport ke negara tertentu perlu memenuhi piawaian dan standard ditetapkan.

Di Malaysia, Makmal Ujian Perabot (FTL) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjalankan ujian prestasi dan ketahanan perabot serta mengeluarkan laporan lengkap sebelum boleh dieksport.

Ketua FTL FRIM, Dr Khairul Awang berkata, ada empat jenis ujian dijalankan di makmal berkenaan iaitu ujian kekuatan, kestabilan, ketahanan dan keselamatan produk.

“Ujian ke atas bahan perabot tidak dijalankan di makmal ini, sebaliknya kami menumpukan kepada menguji ketahanan perabot itu mengikut standard negara tertentu. Setiap negara ada piawaian berbeza.

“Selain empat ujian itu, kami dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan dan bakal menyediakan ujian kelima iaitu ergonomik, namun ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Dr Khairul berkata, makmal yang ditubuhkan pada 1989 itu bertujuan mempertingkatkan kualiti perabot keluaran tempatan sama ada untuk kegunaan dalam negara mahupun dieksport.

Selain dikenali dan diiktiraf dalam kalangan pemain industri kayu tempatan khususnya pembuat perabot, makmal itu turut menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa dan pernah menguji perabot keluaran Denmark, Vietnam, Indonesia dan Singapura.

Katanya, makmal berkenaan turut mendapat pengiktirafan rasmi Furniture Industries Research Association (FIRA) dari United Kingdom sejak 1994.

“Sejak mendapat pengiktirafan FIRA, ujian di makmal ini berkembang daripada lima jenis perabot kepada 16 seperti kerusi domestik, katil bertingkat, perabot luaran dan sebagainya.

“Makmal ini turut diberi pengiktirafan ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) pada 2010,” katanya.

Kata Dr Khairul, makmal berkenaan bukan saja memfokuskan untuk meningkatkan mutu perabot tempatan melalui ujian, malah turut memberi khidmat nasihat.

Maklumat lanjut lawati laman www.frim.gov.my atau hubungi talian 03-6279 7381/7385/7387 atau hantarkan e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 5:55 AM